BERBAGAI
cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka
yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, makan angin, bersukan,
merekaseni melukis dan sebagainya.
Ada
pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul
dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada
juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur‘an,
berzikir, bersembahyang dan sebagainya.
Tanpa
ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan
mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah
lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat
pertimbangan.
Dalam
mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya ia
jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan
lagu-lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah
bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa
sahaja yang akan menentukannya.
Sudah
menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti
bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan
minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas
permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
tafsirnya :
“Dan
tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan
yang melalaikan”.
(Surah
Al-An‘am: 32)
FirmanNya
lagi yang tafsirnya :
“Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”.
(Surah
Al-Ruum: 21)
Dengan
adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan
melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah
untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh
Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu”
(Surah
Al-Zariat: 56)
Sebagai
orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam
mencari hiburan. Al-Qur‘an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan
perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan
dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan,
sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan
ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada
cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat
menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu
sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang
menghinakan”.
(Surah
Luqman: 6)
Sifat
suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma
orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
tafsirnya :
“(Orang-orang
kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka
sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah
terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.
(Surah
Al-A‘raf: 51)
Orang
bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada
nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan
oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Dan
tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup
kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita
mati”.”
(Surah
Al-An‘am: 29)
Sifat
hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan
lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang
terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan
hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang
sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut
terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan
hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan
itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan
fantasi, angan-angan dan khayalan semata.
Inilah
persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud
hiburan itu sendiri lebih luas .
HIBURAN
YANG DIANJURKAN ISLAM
Hiburan
sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang.
Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu
iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang
yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah.
Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah
Al-Ra‘ad: 28)
Oleh
itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah
dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang
disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya,
berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apabila
melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu
datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang
disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa
seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.
Orang
mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah.
Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah.
Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan,
mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala yang tafsirnya :
“(Katakanlah
wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya
ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak
Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami
tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.
(Surah
Al-Baqarah: 138)
Orang
yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa
Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau,
langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan
itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya.
Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang
berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah
Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :
“Sesungguhnya
pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh
Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang
dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.
(Surah
Yunus: 6)
Selain
itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang maksudnya:
“Sesungguhnya
Allah itu indah. Dia suka keindahan”.
(Hadis
riwayat Muslim )
Islam
tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan
menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan
ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat
jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti
akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
tafsirnya:
“Allah
telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan
isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya),
yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana
mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan
mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang
tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.
(Surah
Al-Zumar: 23)
FirmanNya
lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan
kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.
(Surah
Al-Anfaal: 2)
Dan
firmanNya lagi yang tafsirnya :
“Iaitu
orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan
orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang
yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepadanya”.
(Surah
Al-Hajj: 35)
Semua
ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan
jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang
Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman
dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang
berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Hal
ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan
sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda
yang maksudnya :
“Di
antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang
hatiku adalah sembahyang”.
(Hadis
riwayat Al-Nasa‘ei)
Dari
apa yang telah dibicarakan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam tidak
melarang umatnya untuk berhibur asalkan tidak menjejaskan kewajipan dan jauh
dari segala perkara maksiat dan mungkar. Hiburan yang dilarang oleh agama Islam
itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan, apa lagi
hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Nyanyian, karaoke, tari
menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang bercampur lelaki dan perempuan,
konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama “amal” tidak akan menghalang
hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan syarak atau konsert
nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus kepada tidak diredhai oleh
Allah. Tujuan amal adalah kata-kata berselindung, seperti berselindung racun di
sebalik makanan yang enak, akhirnya akan membunuh orang yang memakannya. Hal
sedemikian telah digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya:
“Maka
(fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh
syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan
sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi
hidayah kepadanya, atau sebaliknya?)
Kerana
sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya”.
(Surah
Faatir: 8.)
Apabila
di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat maka sesuatu yang
haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang
baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan yang
maksudnya:
“Di
dalam umat ini akan terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk dan
dilempar dengan batu, Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya:
“Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab:
“Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang
ditiup dan berbagai jenis minuman arak”.
(Hadis
riwayat Al-Tirmizi)
Ibnu
Hajar dalam kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk
bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan ahli hiburan yang
haram (seperti majlis tari menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan
dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan
majlis itu adalah suatu dosa besar.
Menurut
Imam Al-Qurtubi pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh menyebabkan sifat
bodoh dan tertolak persaksiannya (syahadah), dan yang lebih ditakuti lagi ialah
menyebabkan nifaq, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
yang maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq (munafiq) dalam hati
sebagaimana air menumbuhkan sayuran”.
(Hadis
riwayat Al-Baihaqi)
Dari
itu ingatlah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah sementara dan sebagai jalan
untuk menuju kebahagiaan di akhirat. Kita perlu sentiasa waspada dan ingat
bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyediakan azab bagi orang-orang yang
mengutamakan kehidupan dunia semata-mata tanpa menghiraukan larangan-larangan
Allah dan RasulNya bahkan lalai dan leka oleh perkara-perkara mungkar dan
maksiat. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang
tafsirnya:
“Ketahuilah
bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup
yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta
perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah di antara kamu
(dengankelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba
membanyakkan hartabenda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah
seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan
penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu
bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya
berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur berkecai; dan (hendaklah diketahui
lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang
hanya mengutamakan kehidupan dunia), dan (ada pula) keampunan besar serta
keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat).
Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya”.
(Surah
Al-Hadid: 20)
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam tidak berpandukan
syarak dalam menjalankan segala urusan dunia dan akhiratnya, kadang-kadang
timbul sangkaan baik mereka terhadap sesuatu amalnya, pada hal adalah
sebaliknya. Jika ada suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara yang tidak
selaras dengan syarak, maka rosak binasalah segala amal usahanya yang mereka
sangka baik itu, dan tidak akan mendapat sebarang harga pada hari kiamat kelak,
bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya. Hal
ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Katakanlah
(wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang
rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal
usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka
sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah
orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan
denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan
memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat nanti.
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka
pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu
sebagai ejekan”.
(Surah
Al-Kahfi: 103-105)
Sumber:
Brunei Darussalam Mufti’s Office
Tiada ulasan:
Catat Ulasan