Jumaat, 30 Mac 2012

HARAM @ TIDAK mlm???


a) Fatwa Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Iftak al-Misriyyah)
b) Fatwa Majlis Ulamak Indonesia  (MUI)
c) Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (Malaysia).

Fatwa-fatwa ini tidak menghukum semua MLM sebagai haram. Sebagaimana mu’amalat-mu’amalat baru yang lain (perbankan, insuran dan sebagainya), MLM juga boleh menjadi halal dan boleh menjadi haram bergantung kepada apakah ia memenuhi ciri-ciri muamalah Syariat atau tidak?.

1. Fatwa Majlis Fatwa Mesir; pembaca boleh membacanya di alamat (http://www.dar-alifta.com/ViewFatwa.aspx?ID=5158).  Pembaca yang tidak memahami bahasa Arab boleh membaca sinopsis yang saya buat dalam jawapan saya sebelum ini “PENDAPATAN MELALUI MLM”.  (*Jika saya ada kelapangan, saya akan usaha terjemahan sepenuhnya insya Allah). Setelah membuat penjelasan yang panjang lebar, fatwa tersebut menegaskan; “Berdasarkan keterangan yang lalu, kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (yakni MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (hadiah/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (barang/produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat hadiah/bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (hadiah/bonus) kepadanya”. (*Majlis Fatwa Mesir dipengerusikan oleh Mufti Mesir; Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah, seorang ulamak al-Azhar yang pakar Usul Fiqh dan Ekonomi Islam).

2. Fatwa Majlis Ulamak Indonesia, boleh dibaca di (http://www.mui.or.id/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=92&tmpl=component&format=raw&Itemid=90 ) atau (http://esharianomics.com/wp-content/uploads/2011/04/75-pedoman_plbs.pdf).  Di antara kenyataan yang terkandung dalam fatwa tersebut ialah; “….sistem perdagangan Multi Level Marketing (MLM) diperbolehkan oleh syari'at Islam dengan syarat-syarat sebagai berikut:
a. Transaksi (akad) antara pihak penjual (al-ba'i) dan pembeli (al-musytari) dilakukan atas dasar suka sama suka (' an taradhin), dan tidak ada paksaan;
b. Barang yang diperjualbelikan (al-mabi') suci, bermanfaat dan transparan sehingga tidak ada unsur kesamaran atau penipuan (gharar);
c. Barang-barang tersebut diperjualbelikan dengan harga yang wajar
”.

Jelas fatwa ini sama seperti fatwa Dar al-Iftak Mesir tadi iaitu MLM boleh menjadi halal jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, bukan semua MLM haram. Al-Hamdulillah, saya telah berdepan secara lansung dengan ulamak-ulamak MUI yang menggubal fatwa tersebut tatkala dipanggil untuk mewakili Panel Syariah HPA (di mana saya bertindak sebagai setiausahanya. Saya hadir bersama pengerusi Panel Syariah; Ustaz Ahmad Ali, lulusan M.A al-Azhar takhassus Usul-Fiqh). Kami dipanggil untuk membentangkan Plan Pemasaran MLM HPA. Hampir 5 jam kami dinilai dan disoal dalam Dewan Mesyuarat MUI oleh ulamak-ulamak dari Dewan Syariah MUI yang berjumlah hampir 10 orang dari pelbagai disiplin ilmu (termasuk seorang pakar dalam MLM). Dan diikuti pula dengan lawatan wakil MUI ke Malaysia (2 orang) untuk melawat kilang-kilang dan melihat sendiri produk HPA serta harganya. Al-Hamdulillah, akhirnya Dewan Syariah MUI telah mengeluarkan sijil pengiktirafan kepada MLM HPA sebagai MLM Syariah (Sijil MUI bertarikh 29 Disember 2010, sila lihat sijil ini di blog HPA Indonesia; http://awmithpa.blogspot.com/ (bahagian downloads)). Saya amat bersyukur kepada Allah kerana keputusan Panel Syariah HPA meluluskan MLM HPA sebagai MLM Syariah telah diakui oleh ulamak-ulamak yang lebih berilmu. Sudah tentu mereka telah menyemaknya dengan terperinci. Falillahi al-Fadhl wal-Minnah. Selain itu, Plan Pemasaran HPA juga telah dibentang di hadapan Panel yang dibentuk JAKIM  untuk mengkaji tentang sistem MLM dan al-Hamdulillah maklum balas dari mereka juga positif terutamanya terhadap buku “Garis Panduan MLM Syariah” yang digubal oleh Panel Syariah HPA .

3. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan boleh pembaca ikuti di laman E-Fatwa JAKIM. Dinyatakan dalam fatwa tersebut; “Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”  (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-sistem-jualan-langsung-mlm-menurut-islam).

4. Mengenai Fatwa Arab Saudi jika direnungi fatwa tersebut ayat demi ayat, kita akan mendapati ia merujuk kepada Money Game. (Rujuk fatwa tersebut; al-Lujnah ad-Daimah Lil-Buhuth al-‘Ilmiyah wa al-IFta’, Kerajaan Arab Saudi. No. Fatwa; 22935. Tarikh Fatwa; 14/3/1425H).

Di antara kenyataan yang ada dalam fatwa tersebut ialah “Tujuan sebenar dari bisnes seperti itu (yakni MLM) adalah memperoleh komisyen/bonus (semata-mata), bukan produk” . Kenyataan fatwa ini jika dirujuk kepada perniagaan HPA ia tidak berlaku. Perniagaan HPA memang bertujuan untuk penjualan produk (dengan menggunakan MLM sebagai mekanisme pemasarannya). Kewujudan produk dalam MLM HPA merupakan realiti, bukan gimik semata-mata. Hingga saat ini, jumlah produk HPA telah melebihi 500 produk (di Malaysia) dan 45 produk (di Indonesia). Bonus yang diperoleh berkadaran dengan jumlah penjualan yang dibuat baik jualan individu dan juga kumpulan. Persen bonus mengikuti peranan masing-masing berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Aqad al-Ju’alah. Hakikat yang sama saya temui dalam beberapa MLM yang lain, antaranya Storm Readers (yang diasaskan oleh sahabat saya Ustaz Dr. Zahazan dan disemak plan pemasarannya oleh Ustaz Zaharuddin) yang menjalankan perniagaan buku dan bahan bacaan. Sememangnya penjualan produk  berlaku dan komisyen/bonus datang dari hasil penjualan tersebut iaitu dari keuntungan yang dikongsi bersama antara syarikat dan para pengedarnya.

Oleh demikian, fatwa Arab Saudi itu tidak mentasawwurkan semua jenis MLM, kerana itu ia tidak boleh mewakili semua jenis MLM. Ia hanya harus dibaca kepada  Money Game sahaja atau MLM yang berunsurkan Money Game. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara Money Game dengan MLM dan MLM Syariah, sila dapatkan buku “SOAL-JAWAB MLM SYARIAH” (tulisan saya sendiri) dan buku “GARIS PANDUAN MLM SYARIAH” (diterbitkan oleh Panel Syariah HPA). Kesimpulan yang dapat saya buat; fatwa Arab Saudi itu tidak ada yang salahnya, cuma ia ada skopnya tersendiri. Orang yang ingin meminjam fatwa itu untuk menghukum suatu MLM ia mesti faham fatwa itu dan faham juga MLM yang ingin dinilai dengan pemahaman 100% tepat. Menjadi prinsip (kaedah) yang diamal di sisi para Fuqahak; al-Hukmu 'Ala Syai' Far'un 'An Tasawwurihi (penentuan hukum ke atas sesuatu bermula dari tasawwur yang tepat tentangnya). Antara ilmu yang mesti dimiliki (oleh orang yang ingin membuat penilaian hukum) ialah ilmu al-Asybah wa an-Nazair (iaitu kemahiran menilai masalah-masalah yang sama dan serupa) dan ilmu al-Furuq (iaitu kemahiran melihat perbezaan dua masalah yang nampak sama, tetapi hakikatnya berbeza). Sesiapa yang tiada ilmu dan kemahiran tersebut, berlapang dadalah untuk menyerah perbahasan kepada orang yang lebih tahu. Sabda Nabi; "Sesungguhnya penawar bagi orang yang tidak tahu ialah bertanya" (HR Abu Daud dari Jabir). Sabda baginda juga; "Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya" (HR Abu Nu'aim dari Abu Hurairah. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 8605).         

SUMBER:
http://ilmudanulamak.blogspot.com

BICARA MALTI-LEVEL MARKETING

ADAKAH MLM ITU HARAM???