Sabtu, 6 Ogos 2011

Doa kesejahteraan diri amalan Rasulullah


Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

Soalan:
BAPA saudara saya tinggal serumah sekarang ini berumur lebih kurang 73 tahun. Perubahan kelakuannya berlaku sedikit demi sedikit. Mudah marah dan tersinggung hati lalu merajuk. Dipujuk dahulu baru hendak makan. Selalu menyuruh cucunya mencarikan songkok sebelum ke masjid, padahal songkok ada di kepala dan menyuruh emak saudara saya mencarikan paip dan tembakaunya padahal paip ada di tangannya dan tembakaunya masih panas.

Dia sering memarahi isterinya, dituduh mencuri duit pencennya padahal dia lupa di mana duit itu disorokkan. Selalunya apabila dikunjungi oleh kawan-kawannya, atau menantunya, dia akan bercerita berulang kali peristiwa-peristiwa lama dari satu bab ke satu bab, terutamanya ketika dia menjadi askar melakukan operasi di hutan. Begitu juga kalau dia marahkan seseorang. Dia akan mengulangi berulang kali, naik malu kita yang mendengarnya

Bagi orang yang tidak pernah mendengar ceritanya, apa yang diluahkan mungkin menarik, tetapi bagi saya, ia tidak ubah seperti tayangan gambar buruk kelabu, yang ditayangkan, jalan sendiri tanpa dikawal. Adakah bapa saudara saya ini diperkira sebagai nyanyuk? Adakah nyanyuk itu akan berlaku pada setiap orang apabila tua nanti? Bagaimana cara yang berkesan untuk mengelakkan nyanyuk. Adakah nyanyuk itu diperkira sebagai balasan Allah ke atas hamba-Nya yang melakukan dosa ketika masih hidup di dunia ini yang dinamakan kifarah. Adakah orang yang nyanyuk itu terkecuali daripada melakukan ibadah sembahyang? Masalah lain tidak ada. - Suhaili, Kuala Lumpur

Jawapan:

Nyanyuk selalu dikaitkan dengan mereka yang telah lanjut umur, biarpun tidak dinafikan hal seperti itu boleh berlaku di kalangan mereka yang berusia muda.

Nyanyuk ataupun yang diistilahkan sebagai ``demintia'' adalah merupakan satu keadaan yang dikaitkan dengan gangguan ingatan, perubahan tingkah laku atau tabiat dan intelek. Ia adalah merupakan satu penyakit, yang boleh berlaku daripada punca yang banyak, di antaranya ialah akibat kecederaan pada bahagian kepala, mungkin akibat kemalangan, yang tidak semestinya baru berlaku tetapi juga pada masa-masa yang lampau atau ketika muda dahulu. Perubahan tabiat, hal-hal yang berkaitan dengan ingatan dan intelek tidak berlaku serta-merta kerana sesuatu sebab, tetapi kesan daripada kemalangan itu mungkin timbul ketika usia lanjut akibat jangkitan pada otak, barah atau akibat pendarahan otak. Ia juga boleh terjadi akibat kecederaan atau penyakit saluran darah. Sebab-sebab lain yang dikaitkan dengan nyanyuk ialah akibat keracunan termasuklah tabiat minum minuman keras atau kerosakan pada urat saraf otak. Berdasarkan keterangan di atas datuk saudara boleh diperkira sebagai nyanyuk.

Punca-punca atau faktor-faktor berlakunya nyanyuk seperti yang dijelaskan di atas sebenarnya boleh dielakkan kerana itu nyanyuk tidak semestinya terjadi kepada orang yang telah lanjut umur. Dalam kehidupan harian, kita dapati terlalu banyak orang yang berusia lanjut, termasuk mereka yang telah berpuluh tahun pencen setelah berkhidmat dengan kerajaan ataupun sektor swasta dapat menikmati hidup sihat sejahtera, bebas daripada nyanyuk asalkan mereka menjaga kesihatan. Untuk mengelakkan berlakunya nyanyuk ketika lanjut usia, seseorang itu perlu menjaga dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala-gejala yang boleh menyebabkan nyanyuk. Setiap penyakit itu ada puncanya kerana itu, untuk mengelakkan sesuatu penyakit, seseorang itu perlu mengelakkan faktor-faktor berlakunya penyakit berkenaan.

Walaupun demikian, biarpun seseorang itu berusaha sedaya upaya, namun qadak dan qadar itu adalah dalam ketentuan Allah. Kemalangan boleh berlaku biarpun seseorang itu dalam keadaan berjaga-jaga. Dalam menangani hal-hal di luar keupayaan seperti ini seseorang itu perlu berusaha berdoa kemudian baru bertawakal menyerah diri kepada Allah semoga dijauhkan oleh Allah daripada bencana yang boleh menyebabkan berlakunya nyanyuk. Seperti yang dijelaskan punca nyanyuk itu banyak. Kerana itu sakit ini memerlukan rawatan yang berbeza bergantung kepada punca nyanyuk yang sebenar. Nyanyuk yang berpunca akibat tisu-tisu dalam otak yang rosak dan tidak berfungsi (degenerative) adalah lebih sukar untuk sembuh. Saiz otak yang mengecil juga boleh menyebabkan nyanyuk. Kerana itu penjagaan awal daripada berlakunya kecederaan atau kerosakan pada tisu-tisu dan urat saraf yang menyebabkan berlakunya gangguan ini perlu dihindarkan. Al-Abbas bin Abdul Mutalib pernah meminta Rasulullah agar mengajarnya doa yang perlu dibaca. Baginda menjawab; Wahai Abdul Abbas, pohonlah keampunan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya kesejahteraan itu adalah raja yang tersembunyi. Kesihatan adalah satu nikmat, yang sering terabai padahal ia adalah mahkota yang terpacak megah di kepala orang yang sihat, yang tidak dimengerti kecuali oleh mereka yang sakit. Di bawah ini adalah di antara doa-doa yang dibaca oleh Rasulullah untuk kesejahteraan diri, termasuklah sakit nyanyuk. Doa tersebut dituliskan dalam maknanya sahaja:

Balasan

- Ya Allah, kurniakanlah pada diriku ketakwaannya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada ilmu yang tidak memberi guna, daripada hati yang tidak khusyuk dan diri yang tidak rasa puas, juga daripada permohonan yang tidak dimakbulkan.

- Ya Allah, berlaku lembutlah terhadap diriku dalam memudahkan segala yang sukar, kerana memudahkan segala yang sukar adalah hal yang mudah bagi-Mu dan aku memohon kepada-Mu kemudahan dan kemaafan baik di dunia mahupun di akhirat.

- Ya Allah berilah kesejahteraan pada diriku, pada pendengaranku dan mataku. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur. Tidak ada Tuhan melainkan Engkau.

- Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada lemah dan malas, pengecut dan kikir, tua dan keras hati, lalai dan leka, hina dan miskin. Aku berlindung denganmu daripada fakir, kufur, fasik, nifak, sumah dan riak. Dan aku berlindung denganmu daripada bisu dan pekak, gila dan sakit kusta, daripada sopak dan kejahatan ketika lanjut tua.



Tidak dinafikan bahawa sakit yang menimpa seseorang itu merupakan kifarah atau balasan Allah s.w.t. terhadap kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh seseorang hambanya ketika masih hidup di dunia. Sesungguhnya apabila mahukan kebaikan itu berlaku ke atas seorang hamba-Nya, ia akan menyegerakan  balasan dosa yang dilakukan itu dengan segera iaitu ketika orang yang berkenaan itu masih hidup di dunia. maha Suci Allah daripada mengazab seseorang hamba itu kali kedua iaitu di akhirat kelak. Merujuk kepada datuk saudara, yang saudara tanyakan sama ada nyanyuk yang dialami itu boleh diperkira sebagai kifarah Allah, hal tersebut adalah di luar keupayaan manusia untuk membicarakannya. Allah maha mengetahui rahsia-rahsia di sebalik qadak dan qadar ketentuannya. Sayidatina Aishah berkata, Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang bermaksud; Tidak menimpa ke atas seorang Mukmin satu kecelakaan yang merupakan duri atau yang lebih daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengannya... itu. Menyentuh tentang taklif (tanggungjawab) sembahyang pula, saudara perlu merujuk syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu mendirikan sembahyang, iaitu Islam, baligh, berakal, suci daripada haid dan nifas, sejahtera mata dan telinga, tidak juga sampai seruan Islam kepadanya.

Orang yang buta dan pekak sejak lahir atau sebelum mumaiyiz tidak wajib sembahyang biarpun ia berupaya bercakap. Berdasarkan syarat-syarat ini, sekiranya datuk saudara itu masih berakal, maka taklif sembahyang tetap ada, biarpun dia masih telah lanjut umur dan sakit. Selain daripada berusaha, berdoa dan tawakal, seseorang itu perlu memahami tentang qadak dan qadar Allah, rahsia-rahsianya juga hakikat pahala qadak dan qadar. Baginda menjelaskan bahawa di antara tanda-tanda kebahagiaan seseorang ialah reda terhadap qadak dan qadar Allah, berupaya mengingati Allah biarpun dalam keadaan mewah, juga sabar terhadap bala yang menimpa.
Mingguan Malaysia 5 feb 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan